Tuesday, 7 August 2012

Dilemma Badminton Negara ....


Wajah Datuk Lee Chong Wei pada majlis penyampaian hadiah
 di mana dia hanya mampu meriah pingat Perak untuk negara.
 Syabas Datuk Lee Chong Wei.

Syabas dan tahniah Datuk Lee Chong Wei. Itu ayat pertama dapat saya simpulkan pada coretan kali ini. Sudah tentu ucapan ini merujuk kepada pencapaian Lee Chong Wei pada Kejohanan Olimpik 2012 di London ketika ini yang menyaksikan beliau hanya mampu menyumbang pingat Perak pada negara untuk kali yang kedua dalam persaingan yang cukup sengit hingga ke rubber game dengan kutipan mata 21-15, 9-21, 19-21 memihak kepada lagenda ulung China Lin Dan. Kita memang menunggu detik-detik ini kerana kita semua tahu bahawa berapa ramai pun atlit yang dihantar ke Olimpik London kali ini, peluang untuk meraih pingat bukannya emas hanyalah terletak di tangan Lee Chong Wei, malah tidak kepada gandingan Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong yang hanya mara ke separuh akhir tetapi tewas kepada gandingan Lee Yon Dae dan Jung Jae Sung untuk penentuan pingat gangsa. Sebab itulah kita harus menghargai pencapaian beliau kerana bukan semua orang mampu membawa tekanan yang sebegitu hebat di gelanggang dengan pasti ditonton oleh jutaan penduduk di Malaysia.

Bagi saya peranan Lee Chong Wei sudah berakhir dan dia sudah melakukan yang terbaik. Dengan kekurangan pakar hebat dalam latihannya, rakan pelatih yang jauh tidak setanding dengan rangkaian pemain China dan faktor kecederaan yang tidak putus-putus mengganggu prestasinya, dia masih mampu meletakkan dirinya sebagai antara yang terbaik di dunia ketika ini. Dan tidak boleh dinafikan dalam kejohanan-kejohanan yang berprestij, Lee Chong Wei hanya boleh dikalahkan oleh Lin Dan dan begitu juga sebaliknya. Pada penentuan rubber game tempoh hari yang mana dua mata membezakan 21-19, kekalahannya lebih kepada nasib selain prestasi Lin Dan yang sememangnya luar biasa.

Penulisan saya kali ini tidak mahu menjurus kepada perlawanan pada 4 Ogos 2012 itu. Jadikan ianya sebagai satu sejarah. Apa yang perlu kita lihat sekarang apakah movement kita seterusnya. Siapakah agaknya yang akan membawa kecemerlangan Lee Chong Wei dalam dunia badminton untuk Malaysia? Kita tidak ada siapa yang boleh dibanggakan ketika ini. Hanya Lee Chong Wei. Lupakan saja kepada cerita dongeng gandingan emas Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong kerana tiada apa lagi yang perlu diharapkan kepada mereka. Percayalah bahawa jurulatih Tan Kim Her tidak akan mampu melakukan apa-apa walaupun dia berpengalaman melatih pasukan Korea Selatan dan England suatu ketika dahulu. Apakah pemain yang harus disalahkan dalam hal ini ataupun jurulatihnya? Ataupun adakah wajar kita melihat kepada kelemahan pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahupun kurangnya sokongan kerajaan? Inilah persoalan pokok yang perlu kita cari dan selesaikan ketika ini yang mana masalah ini bukan sahaja melanda skuad Malaysia malah turut dialami oleh pasukan kebangsaan Indonesia yang suatu ketika dulu gah dengan barisan lagendanya.

Secara jujurnya, saya mempunyai firasat bahawa pemain yang berbakat besar seperti Lee Chong Wei ini sebenarnya ada merata-rata di negara kita. Soalnya sekarang ialah proses pencariannya dan program pembangunannya harus diterap dengan betul dan bijaksana. Badminton di negara ini bukan seperti permainan lain yang masih asing dan tidak popular. Sukan ini sudah sebati dengan kita tidak mengira bangsa dan boleh dikatakan sukan yang paling popular di Malaysia selain bolasepak. Malah Sepak Takraw sekalipun yang mempuyai sejarah lebih awal dengan masyarakat melayu di Malaysia bermula dari zaman kesultanan melayu pun tidak mampu menandingi populariti sukan badminton dewasa ini. Boleh di katakan hampir semua gelanggang badminton bermula sebelah petang hingga ke malam dan sepanjang siang hari pada masa cuti umum akan penuh dengan tempahan. Pendek kata, kalau hendak memilih apa-apa pentandingan sukan di sekolah atau organisasi, sukan Badminton antara yang paling mudah mendapat sambutan dan sokongan berbanding sukan lain.

Aspek pertama yang saya sebutkan tadi ialah proses pencarian pemain. Seperti yang katakan tadi, pemain berbakat di negara kita adalah ramai. Cuma persoalannya bagaimana kita dapat melihat bakat ini dengan mata yang tepat dan mempunyai kesinambungan dengan program pembangunannya. Tidak dapat dinafikan buat masa ini sudah ada beberapa program tertentu untuk mencari bakat-bakat bagi program badminton tetapi ada beberapa formula yang pada saya harus diperbetulkan. Hakikatnya, program yang ada sekarang sebenarnya tidak begitu fokus dan menyeluruh dan banyak bergantung kepada sukan-sukan peringkat sekolah, daerah dan negeri yang mereka wakili hingga ke Sukan Malaysia (SUKMA) ataupun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan lain-lain. Ataupun ada beberapa program rutin tahunan seperti Yonex Tertutup, Kejohanan Badminton Remaja Tertutup, Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan dan lain-lain tetapi semua 'semangat' kejohanan ini tidak bersifat kerakyatan yang mampu melahirkan lebih ramai jagoan seperti Lee Chong Wei.

Kenapa saya katakan tidak bersifat kerakyatan? Bukankah semua program ini meliputi pelbagai aspek yang diperlukan? Untuk melihat dengan lebih jelas lagi, kita kena faham bahawa isu sekarang ialah pencarian bakat. Pendekatan yang ada sekarang ialah umpama menarik hasil ikan yang timbul untuk ditangkap tetapi kita lupa banyak lagi ikan yang lebih protein di bawah dasar laut yang perlu kita selami dengan turun ke bawah untuk menangkapnya. BAM adalah satu badan rasmi dan ia tidak akan mampu melakukan tugas ini. Percayalah ramai anak-anak muda kita yang berbakat besar tetapi tidak mampu untuk hadir ke kejohanan-kejohanan rasmi yang dianjurkan oleh BAM. Kenapa begitu? Kerana kita masih ada sebahagian besar masyarakat yang tidak mampu membeli raket yang baik, konsisten berlatih dan bermain disebabkan infrastuktur yang lemah, pemikiran keluarga yang konservatif terhadap sukan dan macam-macam lagi. Di sinilah kita banyak ketinggalan dan banyak bakat hilang tanpa digilap.

Secara peribadi saya tidak menyalahkan BAM dan saya akui kita perlukan BAM. Tetapi peranan BAM itu harus diperluaskan kepada rangkaian yang profesional dan mampu menggalas tugas ini. Kita perlu belajar dengan kewujudan Kelab Nusa Mahsuri suatu ketika dahulu hingga mampu melahirkan nama-nama seperti Roslin Hashim, Hafiz Hashim malah kehadiran Lee Chong Wei dalam arena badminton negara juga boleh dikaitkan dengan kecekapan mata dan ramalan daripada pengasas Nusa Mahsuri sendiri iaitu Datuk Misbun Sidek dalam satu program di Pulau Pinang. Pendekatan ini harus digilap dan disesuaikan dengan keperluan. Di sini lah keperluan idea harus diterjemahkan dalam konteks yang betul.

Tidak hanya melontarkan komen, saya akan suarakan bentuk penyelesaian kepada aspek ini untuk pandangan sesiapa sahaja yang membaca blog ini. BAM harus hanya berada di puncak kawalan yang mengawal aktiviti peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Program pencarian bakat ini harus digalas oleh kelab-kelab profesional yang mempunyai integriti yang tinggi. Maknanya BAM bersama Kerajaan harus menggalakkan penubuhan kelab-kelab profesional ini dengan pemberian dana tertentu untuk membentuk pasukan mereka dan menggalakkan kelab-kelab ini turun ke ceruk kampung dan negeri untuk melihat sebarang bakat yang mampu digilap. Percayalah dengan adanya persaingan kelab-kelab profesional ini, kita akan dapat melihat kewujudan ramai bakat muda dan kebangkalian melahirkan lebih ramai Lee Chong Wei adalah tinggi. Kerajaan harus memainkan peranan penting sebagai pendorong untuk kelab-kelab ini. Setakat ini, sekadar menyebut beberapa nama kelab seperti Nusa Mahsuri, Kuala Lumpur Racket Club (KLRC), New Vision Badminton Academy, Michael Badminton Academy (MBA) dan lain-lain, kelab ini hanya berdasarkan kepada latihan seni asas badminton kepada sesiapa yang berminat dan bukan proses pencarian yang saya maksudkan tadi.  

Cuba kita bayangkan kelab-kelab ini diberikan dana secukupnya oleh kerajaan dengan sasaran tertentu sebagai KPI antara lain dapat melahirkan bakat-bakat hebat yang mampu ditonjolkan paling tidak beberapa kejuaraan peringkat negeri dan kebangsaan, nescaya negara akan terus mampu melahirkan jaguh-jaguh sepanjang zaman dan bukan hanya bermusim. Inilah delegasi tugas yang tidak harus dipikul oleh BAM di mana fokus seterusnya ialah lebih kepada pembangunan yang komprehensif. Jika kita mampu melahirkan sekurang-kurangnya 5 ke 10 kelab-kelab profesional yang mempunyai rangkaian program di seluruh negara, BAM hanya perlu menjalan tugas pembangunan bakat hingga menjadi kempetetif di peringkat antarabangsa. 

Tiga orang pemain terbaik dunia ketika ini dinobatkan dalam pemenang pingat
Kejohanan Olimpik 2012 di London.

Aspek kedua yang perlu ditekankan ialah program pembangunan atlit sebagai asas kesinambungan pencarian yang dibuat oleh kelab-kelab profesional pada awalnya. Secara jujur saya katakan disinilah kegagalan BAM ketika ini. Bakat berjaya di cari walaupun tidak sepenuhnya berjaya tetapi pengasahan bakat hingga bersinar menjadi bintang ternyata gagal. Bayangkan sehingga blog ini ditulis, pemain perseorangan kedua negara ialah Darren Liew yang menduduki ranking nombor 27 dunia diikuti oleh Mohd. Hafiz Hashim dalam senarai ranking nombor 30 dunia. Apakah mereka tidak cukup penglibatan dalam pentas antarabangsa? Kurang pendedahan? Masalah kemudahan latihan? Jawapan tidak. Dunia mengetahui bahawa Malaysia memiliki kemudahan antara yang terbaik di dunia dengan pelbagai kemudahan yang lain. Jadi di mana silapnya? Berbanding China, jika mereka tidak ada Lin Dan, mereka ada Chen Long dan kalau tidak pun mereka masih ada Chen Jin ataupun Du Penyu dan Bao Chun Lai. Itu tidak lagi kita berbicara tentang pasukan beregu atau wanita mereka yang sangat unggul. Penelitian ini perlukan kanta yang lebih luas.

Di Malaysia, masalah-masalah yang melibatkan persatuan sukan adalah amat kerap kedengaran. Ini tidak terkecuali BAM. Ada sesuatu dalam BAM yang harus diperbetulkan. Kita telah mendengar keluhan Datuk Misbun Sidek sehingga meninggalkan kem latihan BAM, kritikan daripada pakar beregu dari Korea Selatan Yoo Yong Sung hingga memaksa beliau meletakkan jawatan walaupun mendapat gaji yang lumayan dan yang paling mengecewakan ialah perletakan jawatan lagenda beregu Indonesia, Rexy Mainaky awal tahun ini memberi petanda bahawa BAM sebenarnya adalah persatuan yang sedang sakit. Dengan memetik kata-kata Yong Sung ketika ditanya wartawan mengenai perletakan jawatannya, beliau berkata "Saya ingin berkongsi kepakaran dan pengalaman saya dengan pemain tetapi saya tidak diberi peluang berbuat demikian". Kenyataan ini diberikan berdasarkan kepada tindak tanduk pengurusan BAM yang tidak memberikan kebebasan kepada jurulatih dalam perlaksanaan latihan mereka. Dan hakikatnya, inilah penyakit yang harus diubati dan penglibatan kerajaan dalam hal ini amat penting.

Lagenda beregu China, Li Yongbo yang juga merupakan Ketua Jurulatih China.
Beliau lah arkitek badminton China yang mampu melahirkan bakat muda China
ibarat air yang tidak putus mencurah-curah

Kita harus membandingkan diri kita dengan pasukan China. Kenapa China? Kenapa tidak Indonesia, Denmark, Korea Selatan ataupun Jepun? Kerana China memiliki model terbaik yang harus kita contohi. Cuba kita banyangkan, dalam era ini berapa ketua jurulatih dan juga jurulatih Malaysia? Kita pernah memiliki jurulatih seperti Pak Indra Gunawan, Park Joo Bong, Morten Frost, Han Jian, Rexy Mainaky, Yoo Yong Sung bersama rangkaian jurulatih tempatan seperti Yap Kim Hock, Datuk Misbun Sidek dan sebagainya. Tapi berapa nama yang betul-betul boleh dibanggakan mungkin hanya Lee Chong Wei ataupun sekelip kejayaan dari Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong dari sinar Sukan Asia di Doha 2006 dan Kejohanan All England 2007. Itu saja. Berbanding China, secara konsisten sejak lagenda beregu mereka Li Yongboo mengambil alih tugas Ketua Jurulatih China, legasi kejayaan mereka amat sukar dibendung. Ini lah yang harus ditelaah oleh BAM ataupun Kementerian Belia Dan Sukan dalam menanggani isu ketandusan bakat dalam pasukan badminton negara. Sesuatu seharusnya dilakukan sekarang. Mungkin belum terlambat untuk kita melihat hasilnya di Kejohanan Olimpik 2014 di Brazil nanti.

Melihat kembali kepada senarai pemain yang kita ada terutamanya pemain perseorangan sememangnya amat menyedihkan. Kalau kita perhatikan semula, pada peringkat awal benih itu ditatang, Chen Long misalnya, pada Kejohanan Remaja Asia 2007 di mana beliau dinobatkan sebagai Juara Remaja Asia, beliau terpaksa bertarung dalam 3 set menentang Mohd. Ariff Latif dengan persaingan sengit 18-21,21-18, 22-20. Ini menunjukkan dari segi asasnya Chen Long hanya seangkatan dengan Mohd. Arif Latif dari Malaysia tetapi selepas 5 tahun, Chen Long berjaya meletakkan dirinya sebagai pemain ranking nombor 3 dunia dengan memenangi beberapa kejohanan utama berbanding Mohd. Arif Latif hanya menduduki rangking nombor 53 dunia. Ini bermakna dalam tempoh 5 tahun bermula 2007 hingga 2012, ada sesuatu yang berjaya dilakukan oleh Persatuan Badminton China dan dalam tempoh yang sama, sesuatu yang mengecewakan dilakukan oleh BAM di Malaysia. Sampai bila proses pembaziran tenaga dan usaha ini harus diteruskan?

Reaksi Rexy ketika kejohanan. Beliau adalah antara lagenda kejurulatihan
yang dipersia-siakan oleh negara.
Dalam aspek ini, saya ingin merujuk kepada pandangan dan luahan bekas ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky dari Indonesia yang menyatakan bahawa para pemain Malaysia terutama pemain beregu dengan merujuk kepada Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong memiliki kemampuan, kepantasan, kemahiran dan gaya untuk menjadi seorang juara tulen tetapi mereka tiada "roh" sebagai seorang juara. Itulah kata-kata keramat bekas Juara Dunia dan Juara Olimpik bersama Ricky Subagja dari Indonesia itu. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "roh" itu? Kalau kita tengok video permainan Rexy dan Ricky dahulu kita dapat melihat kesungguhan mereka bermain memang amat luar biasa. Satu mata yang hilang amat ditangisi dan tidak ada ruang untuk bergurau dan mental mereka adalah untuk menjadi juara. Walaupun Rexy tidak menghuraikan dengan tepat apakah yang dimaksudkan dengan "roh" tersebut tetapi tutur bahasanya meluahkan segalanya sudah dimiliki hanya "attitude" pemain di dalam dan luar gelanggang harus berada pada landasan yang betul untuk melahirkan "roh" juara tersebut. Pandangan peribadi saya, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong seharusnya setia berguru dengan Rexy Mainaky kerana beliau lah yang melahirkan gandingan emas ini dan kegemilangan yang dipupuk bermula dari Sukan Asia Doha 2006 akan mampu diteruskan sebagaimana kekalnya perguruan Cai Yun dan Fu Haifeng dengan Li Yongboo. Rexy menambah, memang sukar untuk patuh arahan jurulatih tetapi itu sahaja pilihan yang ada jika ingin menjadi juara.

Tulisan ini adalah pandangan ikhlas saya yang sentiasa mengikuti perkembangan badminton negara dan antarabangsa. Dengan tiada niat untuk mengecam mana-mana individu tetapi saya berharap pandangan ini dapat dijadikan sedikit renungan untuk kebaikan kita bersama.

Selamat Maju Jaya Pasukan Badminton Malaysia
& Syabas Datuk Lee Chong Wei




Friday, 28 October 2011

Bahasa Pembuka Bicara

Assalamualaikum Wr. Wbt,

Salam perkenalan dari ku kepada semua rakan-rakan yang mengenali identitiku melalui gaya penulisan seperti yang boleh anda baca dalam blog ini. Aku memiliki blog keluarga tetapi adalah amat mustahil untuk aku membicarakan aspek-aspek yang diluar dari perkara-perkara kekeluargaan dalam blog tersebut. Maka disebabkan keinginan aku menulis apa-apa saja topik yang aku nak tulis maka lahirlah blog ini.

Kenapa Pena Paradigma Senja menjadi pilihanku? Sebenarnya ia sudah lama menjadi simbol kepada apa-apa sahaja tulisanku. Ianya membawa makna yang besar dalam simbol dan cita-cita hidupku.

Pena biasanya dikaitkan sebagai pen yang kerjanya adalah mengikut tuannya mencatat apa sahaja yang diinginkan. Pengaruh pena ini amat besar hingga boleh meruntuhkan apa sahaja dari sekecil-kecil akidah hingga sebesar luas empayar. Pena melambangkan kesetiaan kepada tuannya dan mampu merealisasikan apa yang tersirat dalam akal fikiran. Manusia yang bijak akan mampu menggunakan pena untuk kesejahteraan umat tetapi bagi manusia yang jahat, pena digunakan untuk memesongkan tujuan dan hala tuju kebenaran.

Paradigma pula adalah akal fikiran yang berwawasan. Setiap manusia mesti mempunyai paradigma yang cemerlang. Jika paradigma ini mampu dikembangkan dengan baik maka tidak mustahil kecemenrlangan akan sentiasa menanti.

Dan senja itu adalah matang. Tatkala subuh itu adalah bayi, pagi adalah budak, tengahari adalah dewasa maka sebelum hari tua di malam gelap, senja itu menggambarkan kematangan. Kita harus matang dalam menjalani kehidupan agar kita tahu realiti dan tujuannnya.

Maka melalui blog, aku akan mengambil peluang dan kesempatan yang ada untuk berbicara dalam apa jua topik dan semoga ianya tidak mengganggu keselesaan sesiapa sahaja yang membacanya.

Wassalam dan jumpa lagi di lain bicara ....